Jahit Manik Pada Baju Kosong Untuk Segala Majlis
Teknik Tambour Beading Mudah Untuk Jahit Pelbagai Jenis Manik dan Labuci Pada Design Manik Baju Kosong
Kali ini saya akan menggunakan Teknik Tambour Beading bagi menghasilkan Applique sebelum di sulam ke Baju Kurung Moden Kosong
Jahit manik menggunakan Teknik Tambour Beading ini bagi saya selain menjimatkan masa, ia juga dapat memberikan kekemasan secara lebih terperinci. Ini kerana saya memilih untuk menjahit menggunakan teknik ini disamping menggunakan benang tangsi halus. Jadi hasilnya manik tersebut kelihatan seakan terapung kerana benang tidak kelihatan selain daripada warna benang tidak menggangu warna baju tersebut pada hasil akhir nanti.
Antara Kelebihan menggunakan teknik applique pada setiap rakaan manik adalah:
- Baju tidak akan berkedut pada hasil akhir setelah siap.
- Pelanggan akan lebih selesa kerana tidak merasa ikatan benang yang sering dilakukan pada awal dan akhir jahitan manik.
- Manik lebih mudah di susun pada baju bagi menghasilkan susunan manik yang lebih tepat.
- Manik tidak akan berabur sekiranya ia perlu di rungkai semula kerana manik di jahit secara berasingan di fabrik lain kemudian di sulam pada baju yang diinginkan.
- Manik dapat di buka semula sekiranya pelanggan berasa baju tersebut sudah tidak muat dipakai namun manik kelihatan masih cantik.
Ketika menggunakan Teknik Tambour Beading ini, perbezaan memang ketara apabila jahitan dilakukan. Berbanding jahitan manik menggunakan teknik biasa yang mana manik perlu di ambil menggunakan jarum satu per satu dan di jahit pada baju, Teknik Jahit Tambour beading ini lebih selesa kerana ia seperti sedang menulis di atas kertas.
Fabrik dasar yang di sarankan oleh Prof Robert Heaven (Pensyarah berkemahiran untuk teknik tambour beading ini) adalah menggunakan Sutera Organza. Ini adalah kerana hasil akhir nanti manik sahaja yang akan kelihatan manakala kain dasar tadi akan samar sekaligus akan kelihatan lebih kemas. Ketika menjahit menggunakan teknik ini juga, tangan saya rasa sangat selesa. Setelah tekun menjahit menyiapkan 1 keseluruhan bunga saya tersedar telah 2 jam saya leka menyiapkan manik tersebut.
Sequin sukar dijahit kerana melekat seperti di gam
Ketika menjahit manik ini, pelanggan telah bersetuju untuk menggunakan manik jenis sequin, pearl dan jemaki. Semasa menjahit manik sequin, pada awalnya ia amat sukar ini kerana ia melekat di antara satu sama lain dan licin. Teknik Tambour Beading ini, penjahit harus memasukkan kesemua sequin yang sama warna ke dalam segulung benang sebelum memulakan sebarang jahitan manik. Ketika jahitan sedang dilakukan, manik sequin akan ditolak satu per satu sebelum membuat simpulan untuk ke langkah seterusnya. Sila rujuk video ini berkenaan Teknik jahitan Tambour Beading
Seperti di dalam gambar 4, walaupun manik kelihatan seperti di hadapan namun ketika menjahit menggunakan Teknik Tambour Beading manik ini akan berada di bahagain belakang. Ketika menjahit penjahit hanya akan melihat benang dan menggunakan jari beliau untuk kira manik yang akan diletakkan sebelum melakukan simpulan.
Manik yang telah siap dipotong menjadi Applique sebelum di lakukan Teknik Sulam
Sebelum memotong hasil jahitan manik tersebut, anda haruslah meletakkan gam pada bahagian benang sebelum ia dipotong menjadi applique. ini kerana bagi memastikan bentuk applique lebih tegap supaya mudah untuk di susun ketika melakukan Teknik Sulaman.
Meletakkan gam pada bahagian benang di belakang manik amat disarankan oleh Prof Robert Heaven, ini kerana selain memastikan bentuk applique tersebut kekal ia juga dapat memastikan benang lebih kukuh. Untuk gam pula, disaran menggunakan gam bewarna jernih seperti air supaya ketika setelah kering gam tersebut tidak menganggu warna manik seperti berdebu.
Manik perlu disemak dengan memastikan semua ruang lakaran motif keseluruhannya dijahit dan tiada ruang kosong sepeti jarak melompat diantara manik, pada saat ini jahitan manik menggunakan benang jahit tangan boleh digunakan bagi memperkemaskan lagi ikatan manik.
Applique mula di susun pada bahagian baju dan semakan akhir dilakukan sebelum ke Teknik Sulam.
Applique yang telah siap akan di pin pada bahagian yang diinginkan sebelum lanjut ke Teknik Sulam. Penggunaan Body Form disarankan bagi memastikan applique mengikut lengkungan badan tersebut.
Applique yang telah di pin di baju menggunakan Body Form, akan di lakukan Jahitan Kasar sebelum ke Teknik Sulam. Ketika melakukan Jahit Kasar, penjahit akan memastikan applique dalam keadaan yang diinginkan seperti yang telah dirancang dari awal semasa pembikinan seperti:
- Applique tidak berada dalam keadaan senget.
- Saiz applique setara di bahagian kanan dan kiri
- Lebihan ruang untuk Teknik Sulam di sediakan
- Tiada gam yang melekat pada manik atau perlu di bersihkan sebelum Teknik Sulam
- Benang yang digunakan bagi Jahitan Kasar berada di luar kawasan yang akan di Sulam