Jahit Manik Baju Pengantin Teknik Tambour Beading
Jahit Manik Baju Pengantin menggunakan teknik Applique
Jahit manik baju pengantin kali ini kita akan menggunakan gabungan jenis manik mutiara, sequin bulat, sequin siput dan pelbagai, manakala teknik yang akan digunakan adalah Teknik Tambour Beading. Pelanggan saya inginkan sesuatu yang nampak menarik tetapi tidak terlalu berlebihan jadi saya mencadangkan menggunakan warna off white sebagai warna utama manakala sebagai tambahan digunakan warna silver bagi menaikkan lagi warna manik tersebut.
Lakaran awal dilakukan menggunakan Magic Pen sebelum memulakan jahitan.
Saya memulakan dengan melakar dasar rekaan corak tersebut menggunakan Magic Pen (pen yang akan hilang dengan sendirinya apa bila lama terdedah kepada angin) mengikut saiz yang telah dipersetujui dengan pelanggan saya. Kemudian saya meletakkan beberapa manik dalam menentukan jenis dan kesesuaian warna yang akan saya gunakan bagi menghasilkan rekaan manik ini.
Jahitan manik pertama saya mulakan di bahagian garisan lakaran manik tersebut (Outline) bagi menghindari garisan tersebut hilang kerana dakwat Magic Pen sangat sensitif terutamanya kalau di bawah kipas ia akan lebih cepat hilang. Manik saya gunakan adalah manik bulat saiz kecil berwarna Silver.
Warna Off-white digunakan sebagai warna dasar manakala Silver digunakan sebagai warna tambahan
Kemudian saya isikan Outline tersebut dengan pelbagai jenis manik seperti manik mutiara bersaiz besar dan sederhana, sequin berbentuk seperti kerang dan sequin saiz bulat berwarna jernih. Saya kebiasaannya ketika menjahit manik menggunakan Teknik Tambour Beading ini, saya akan menyiapkan manik yang sedang di jahit tersebut untuk ke semua bahagian sebelum bertukar ke manik lain. Contoh saya sedang menjahit manik Mutiara Saiz Sederhana, saya akan habiskan semua bahagian yang memerlukan manik Mutiara Saiz Sederhana tersebut sebelum berpindah ke bahagian manik sequin. Dengan cara ini akan lebih menjimatkan masa.
Seperti yang anda dapat lihat, jarum Tambour Beading saya dibalut dengan Paper Tape. Ini adalah bagi mengelakkan jarum tersebut daripada licin ketika memutar juga ia adalah sebagai pelindung kulit saya bagi mengelakkan luka.
Anda juga mungkin tidak perasan, warna benang yang saya gunakan. Saya menggunakan benang jenis tali tangsi dalam menjahit manik ini. Ini bertujuan bagi meningkatkan lagi kekemasan jahitan manik sekaligus mengelakkan warna benang mengganggu hasil akhir manik ini nanti. Dengan menggunakan benang tangsi juga, kelebihan lain yang sangat bagus adalah saya boleh berjalan ke mana-mana seperti melangkau dari satu daun ke daun yang lain nya tanpa mempedulikan benang tersebut.
Ini adalah kerana warna benang tali tangsi tidak kelihatan juga, benang tersebut akan berada di dasar jahitan manik dan kemudian akan ditutup dengan manik itu sendiri. Antara kesusahan yang saya dapati menjahit menggunakan benang tali tangsi ini adalah, benang susah untuk dilihat ketika dijahit dan lebih susah lagi jika ia putus.
Jadi kepada pemula yang ingin mencuba jahitan manik Tambour Beading ini saya amat tidak menyarankan menjahit menggunakan benang tangsi, sebaliknya menggunakan benang biasa bagi mempercepatkan lagi jahitan dan memahirkan anda dengan seni jahitan ini dengan lebih pantas.
Manik kelihatan bewarna Putih secara keseluruhan namun terdapat warna Silver sebagai tambahan
Ini adalah kerana pelanggan meminta saya memberikan rekaan manik yang nampak menarik namun tidak terlalu menonjol.
Setelah jahitan manik ini telah selesai, saya akan menggunakan lampu di talifon untuk lakukan penelitian terhadap benang sebelum ia disapukan gam. Penelitian tersebut termasuk memastikan benang tidak bergumpal dan tiada benang yang terlepas dari setiap simpulan berantai.
Penggunaan manik mutiara esklusif
Penggunaan manik mutiara akan memperlihatkan lagi kekemasan dan esklusif rekaan manik tersebut
Ketika manik ini akan disapukan gam, saya juga akan pastikan pemidang manik dalam keadaan baik dan tidak terbuka kerana jika terbuka manik tersebut akan berada dalam keadaan rapat dan kain Organza Silk juga kelihatan seperti berkedut. Semasa ingin menyapukan gam juga saya akan kebiasaannya akan menggunakan jari bagi mengelakkan bahan asing seperti bulu pada berus- jika anda menggunakan berus, serpihan kertas- jika anda menggunakan kertas, melekeat pada manik tersebut dan sekaligus sukar untuk dikeluarkan ketika setelah kering gam tersebut kering nanti.
Saya juga akan meletakkan gam tersebut sebanyak 2-3 kali lapisan dengan cara, menyapu gam di keseluruhan belakang manik untuk pertama kali tunggu hingga kering dan diikuti dengan sapuan yang kedua dan ketiga -jika perlu. Jarak masa diantara sapuan gam pertama, kedua dan ketiga adalah sekitar 3 jam. Setelah memastikan gam tersebut betul-betul kering saya akan membuka pemidang manik Tambour Beading ini dan mengasingkan fabrik dasar- Organza Silk terpisah dari Bias Tape. Kemudian saya akan memotong setiap manik tersebut menjadi Applique dengan memberikan jarak yang sesuai untuk melakukan sulaman sebagai langkah akhir. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca Post kali ini, jumpa lagi di Post seterusnya. Terima Kasih.